MEMORANDUM MAHASISWA MENUNTUT KEBAJIKAN PELAJAR TAHUN AKHIR BAC. SAINS DENGAN PENDIDIKAN (BSDP) FAKULTI SAINS UPM
DI AMBIL KIRA DALAM ISU LATIHAN MENGAJAR DAN PRAKTIKUM KAUNSELING (LMPK) SESI 2008/2009
Bertarikh 9 Mac 2009
PENDAHULUAN
Menuju ke arah universiti bertaraf dunia, Universiti Putra Malaysia adalah medan terbaik untuk mahasiswa mengasah dan mengembangkan ilmu untuk berbakti kepada masyarakat. Universiti juga adalah tempat yang memberi perkhidmatan kepada pelanggannya yang bergelar mahasiswa.
Justeru perkhidmatan yang terbaik adalah impian setiap mahasiswa yang telah menjadi pelanggan tetap universiti. Harapan yang besar ini tidak boleh dipandang enteng oleh pihak pengurusan dan senat universiti.
PRINSIP BERHUBUNG LATIHAN MENGAJAR DAN PRAKTIKUM KAUNSELING (LMPK)
Latihan Mengajar & Praktikum Kaunseling (LMPK) merupakan latihan penting yang memberikan peluang kepada pelatih untuk mendapat pengalaman mengajar dan atau praktikum kaunseling dalam kegiatan berkaitan dengan latihan keguruan.
Latihan praktik ini dijalankan di sekolah menengah kecuali program pendidikan prasekolah di sekolah rendah. Manakala Pendidikan Moral boleh dijalankan di sekolah menengah/sekolah rendah. Dalam situasi sekolah juga pelatih kaunseling berpeluang memupuk kecekapan memberi khidmat kaunseling.
Di Universiti Putra Malaysia, Latihan Mengajar Dan Praktikum Kaunseling (LMPK) akan diadakan setiap tahun.
Atas rasa tanggungjawab serta keprihatinan sebagai mewakili suara mahasiswa terlibat di Universiti Putra Malaysia, saya sebagai wakil mahasiswa Fakulti Sains berasa terpanggil untuk bertanggungjawab dalam soal kebajikan di kampus. Apatah lagi, terdapat unsur - unsur yang menekan mahasiswa dari segi kebajikan dan suara mahasiswa tidak dipertimbangkan di peringkat pentadbiran dan pengurusan LMPK secara khususnya. Oleh itu, kami menuntut perubahan serta tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang berkenaan terutama daripada Datuk Naib Canselor sendiri, berasaskan tuntutan di bawah bagi memastikan LMPK bagi sesi 2008/2009 ini berjalan dengan efektif dan tidak menimbulkan salah faham di kalangan mahasiswa.
BEBERAPA PENJELASAN TERHADAP TUNTUTAN KEBAJIKAN PELAJAR TAHUN AKHIR BAC. SAINS DENGAN PENDIDIKAN (BSDP) FAKULTI SAINS UPM DI AMBIL KIRA DALAM ISU LATIHAN MENGAJAR DAN PRAKTIKUM KAUNSELING (LMPK) SESI 2008/2009
1) TARIKH LMPK DIAWALKAN DARI 27 APRIL 2009 KE 23 MAC 2009
1.1 Pihak pengurusan UPM memaklumkan secara lisan berkenaan perubahan tarikh LMPK dari 27 April 2009 ke 23 Mac 2009 hanya pada 6 Mac 2009, iaitu 2 minggu sebelum tarikh LMPK.
1.2 Pihak universiti sepatutnya memaklumkan perubahan tarikh tersebut dengan lebih awal supaya mahasiswa dapat betul – betul bersedia dan tidak menimbulkan masalah yang kritikal.
1.3 Tarikh tersebut mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di Akademi/Fakulti/Pusat/Sekolah kerana mahasiswa masih mengambil subjek dan belum menduduki peperiksaan akhir.
1.4 Mengikut buku panduan sesi 2005/2006, mukasurat 27 hingga 29, sistem penilaian yang diamalkan oleh Universiti Putra Malaysia adalah berterusan iaitu sekurang-kurangnya tiga kali penilaian termasuk peperiksaan akhir. Penilaian tersebut ialah;
Ujian 1 atau Ujian Pertengahan Tahun
Ujian 2 atau tugasan
Peperiksaan akhir
1.5Beban kredit untuk sesemester dalam keadaan khas beban kredit maksimum tidak melebihi 18 kredit (termasuk kursus audit dan kemahiran Bahasa). Atas dasar ini, mahasiswa berasa terbeban jika LMPK dimulakan pada 23 Mac 2009 kerana kebanyakan daripada mereka masih mengambil subjek berkredit di antara 12 hingga 18 dan beban kredit sesemester akan bertambah.
2) JUGA, JIKA LMPK DITERUSKAN PADA TARIKH TERSEBUT MAHASISWA AKAN MENANGGUNG BEBERAPA RISIKO, IAITU;
2.1 Tempoh perjalanan kuliah yang sepatutnya dijalankan dalam jangka masa 5 minggu akan cuba dipadatkan kepada 2 minggu. Ini tidak termasuk peperiksaan akhir yang mengambil masa selama 2 minggu. Setelah dijumlahkan, mahasiswa terpaksa menanggung bebanan 7 minggu waktu penjadualan sebenar.
2.2 Dari segi persediaan mengajar semasa LMPK, perkara ini juga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang telah ditetapkan untuk LMPK.
2.3 Mahasiswa juga terpaksa menanggung kos tambahan dari segi kos pengangkutan pergi balik untuk menduduki Ujian 2 dan Peperiksaan Akhir memandangkan mahasiswa sedang dalam tempoh LMPK.
2.4 Tambahan pula, cuti yang boleh diambil semasa LMPK cuma 2 hari sahaja. Perkara ini merumitkan mahasiswa untuk menduduki peperiksaan akhir yang telah ditetapkan tarikhnya pada waktu yang berbeza.
3) MENIMBULKAN MASALAH LAIN YANG MEMBEBANKAN MAHASISWA.
3.1 Dalam masa kurang daripada 2 minggu sebelum LMPK bermula, mahasiswa yang terlibat terpaksa menanggung kos sendiri dari segi logistik iaitu proses mencari tempat kediaman, pengangkutan dan sekolah yang terlibat dengan LMPK.
3.2 Dalam tempoh 2 minggu itu juga, mahasiswa terpaksa meminta pensyarah menghabiskan sukatan pelajaran, menyiapkan tugasan, menghabiskan projek atau amali dan menghadapi ujian 2. Jelas disini menunjukkan mahasiswa yang terlibat dibebani dengan masalah yang banyak.
3.3 Selain itu untuk peperiksaan akhir semester mahasiswa terpaksa datang kembali ke UPM untuk beberapa kali (bergantung kepada jumlah subjek yang diambil) sedangkan cuti yang diberikan semasa LMPK cuma 2 hari sahaja.
3.4 Tambahan lagi, mahasiswa terpaksa berhempas - pulas mencari waktu belajar sendiri dan bersedia untuk menghadapi peperiksaan akhir, sementara sibuk dengan LMPK di sekolah –sekolah sedangkan LMPK bukanlah suatu perkara yang main – main dan memerlukan sepenuh kesungguhan memandangkan pemberat kredit bagi LMPK adalah 8. Justeru, perkara ini akan membawa kesan kepada CGPA mahasiswa memandangkan banyak perkara yang perlu dikejar iaitu subjek mereka sendiri dan LMPK.
Justeru, kami mengemukakan beberapa tuntutan serta cadangan bagi isu ini :
1) Kami mendesak agar tarikh LMPK dikekalkan pada 27 April 2009 hingga 31 Julai 2009.
2) Kami mengusulkan pihak universiti dan kakitangan dapat membuat penyeliaan lebih awal untuk LMPK supaya isu tidak sempat memasukkan markah ke dalam SMP dapat dielakkan lantas mahasiswa dapat bergraduat pada tahun ini juga.
3) Kami mendesak agar pihak universiti mengecualikan mahasiswa tahun akhir ini daripada membayar yuran universiti dalam tempoh menjalani LMPK. Ini adalah kerana mahasiswa tidak lagi berdaftar di UPM pada semester hadapan, malahan LMPK memang dijalankan di luar semester dan dijalankan di luar UPM pula.
4) Kami mencadangkan agar pihak universiti menukar sistem pembayaran yuran daripada sistem pembayaran mengikut semester, kepada sistem pembayaran mengikut subjek.
5) Kami menuntut pihak universiti menunaikan janji penjadualan kuliah dalam satu semester yang mempunyai 14 minggu tempoh pengajian seperti yang ditetapkan, iaitu;
i. 7 minggu kuliah
ii. 1 minggu cuti
iii. 7 minggu kuliah
iv. 3 minggu peperiksaan akhir
6) Kami juga mencadangkan agar kurikulum pengajian dikaji semula oleh pihak pengurusan, iaitu pakej pengajian yang terdapat dalam buku panduan Fakulti Sains di bahagian semester 8 dikhususkan untuk LPMK sahaja supaya masalah yang sama tidak lagi timbul pada masa akan datang.
7) Kami turut mendesak agar pihak pengurusan UPM memulakan kurikulum baru pada semester hadapan, bukan di saat – saat akhir di semester ini kerana ia menyulitkan banyak pihak bukan sahaja kepada mahasiswa, malahan pensyarah dan kakitangan UPM juga.
“MAHASISWA BERILMU BERBAKTI”
Di sediakan oleh :
Fatanah bt Deraman
Ahli Persatuan Mahasiswa Islam UPM
Exco Majlis Perwakilan Pelajar (Fakulti Sains) sesi 2008/2009
Di sokong oleh:
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)
Pro Mahasiswa Universiti Putra Malaysia
Friday, March 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)




No comments:
Post a Comment